Anugerah Inovasi Literasi dari ISTE jadi hadiah istimewa Cikgu Sirhajwan

GURU Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek.

KUALA LUMPUR: Dinobatkan juara Anugerah Inovasi Literasi sempena Ekspo Antarabangsa Untuk Teknologi Dalam Pendidikan (ISTE) di Amerika Syarikat menjadi Hadiah Hari Guru amat bermakna bagi guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, Mohd Sirhajwan Idek, 31.

Ini menjadikan penerima 19 anugerah antarabangsa itu muncul sebagai bukan warga negara Amerika Syarikat yang pertama memenangi anugerah anjuran Rangkaian Pembelajaran Literasi Profesional ISTE yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Katanya, kejayaan itu dimaklumkan Ketua Bersama Jaringan Literasi ISTE, Mark Gura menerusi emel, hari ini.

Mohd Sirhajwan berkata, beliau diundang ke ekspo antarabangsa ISTE di Philadelphia pada 23 Jun hingga 26 Jun ini, sekali gus menerima anugerah berprestij berkenaan.

Katanya, kajian yang memenangi anugerah berkenaan adalah teknik yang dinamakannya `See & Say’, iaitu teknik pembelajaran berdasarkan konsep visual menggunakan imej seperti gambar, emoji, poster dan adegan filem untuk mencetus idea dalam kalangan pelajar menggunakan Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, teknik penggunaan visual tanpa perkataan lebih berkesan dalam menggalakkan pelajar lemah dalam Bahasa Inggeris untuk menyuarakan pendapat mereka seterusnya bertutur dalam bahasa antarabangsa itu, berbanding bahan berasaskan perkataan.

“Saya juga menerapkan penggunaan teknologi dalam teknik pengajaran dan pemudahcaraan dengan menggunakan laman web tertentu supaya pelajar berpeluang untuk menjadi lebih kreatif, ” katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Sirhajwan turut berhasrat untuk memperkembangkan kajian dalam bidang visual yang dianggap sebagai kemahiran bahasa yang kelima, selain daripada mendengar, menulis, bertutur dan membaca.

Katanya, ini adalah satu daripada beberapa ideanya yang berjaya diiktiraf di peringkat global termasuk ketika menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa di Paris pada 2017.

Sementara itu, Mark Gura dalam sesi wawancara bersama Mohd Sirhajwan, kagum dengan semangat anak muda berkenaan yang berjaya membuktikan bahawa tiada yang mustahil dan ingin memberi inspirasi kepada pelajar dan pendidik supaya tidak putus asa dalam mengejar impian mereka.

Antara kejayaan Mohd Sirhajwan ialah ketua pasukan kolejnya yang meliputi guru dan pelajar yang berjaya memenangi 11 pingat inovasi dan lima anugerah kajian di Itali, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *