Ming Fung dilantik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Jin Zhe sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah

Menteri Belia dan Sukan negeri yang baharu, Phoong Jin Zhe (kiri) bersama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang baharu, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melantik pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang baharu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pelantikan itu bagi mengisi kekosongan portfolio menteri susulan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu.

Katanya, Ming Fung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat sebelum ini adalah Menteri Belia dan Sukan Sabah.

“Kerajaan negeri juga melantik ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe sebagai Menteri Belia dan Sukan negeri yang baharu.

“Saya yakin kedua-dua mereka mampu memimpin kementerian berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Jin Zhe, 30, adalah Setiausaha Publisiti DAP Sabah.

Mohd Shafie turut mengumumkan Bendahari DAP Sabah, Loh Ee Eng sebagai ADUN dilantik.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu berkenaan akan mengangkat sumpah pada Selasa ini.

“Saya juga mahu mengulangi bahawa tiada rombakan kabinet (negeri) dilakukan dan semua pembantu menteri adalah sama,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *