Mayat terduduk di dalam sungai

LELAKI ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kesan luka di badan, kepala dan tangan di sungai Kampung Bundu Tuhan, Ranau, semalam.

Mayat Sipaul Yunseh, 59, ditemui dalam keadaan berlumuran darah terduduk di dalam sungai oleh penduduk kampung sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis pada 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, pemeriksaan di rumah mangsa yang terletak kira-kira 60 meter dari lokasi dia ditemui mendapati beberapa kesan darah.

“Susulan penemuan mayat mangsa itu, polis menahan tiga individu tempatan bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk bedah siasat manakala Unit Forensik Polis menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian,” katanya di Ranau, hari ini.

Mohd Shahrul berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami lebam di kedua-dua mata dan pipi kanan selain kesan potong di telinga kiri dan lebam serta luka di badan dan tangan.

“Selain itu, terdapat kesan kelar di bahagian tangan kanan dan pendarahan teruk di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumar lanjut diminta berhubung kepada pegawai penyiasat Inspektor [email protected] Gabintol di talian 019-4366191 bagi membantu siasatan,” katanya. – Harian Metro

1614