Maut sebelum berbuka

Seorang remaja 18 tahun maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori selepas gagal memotong kenderaan lain di Kilometer 8, Jalan Kunak-Lahad Datu, petang semalam. – Foto ihsan PDRM

KUNAK: Seorang operator kilang maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah lori, di Kilometer 8 Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam itu, Mohammad Aiman Amiruddin, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah kedua-dua bahagian paha, selain mengalami kecederaan dalaman.

Foto BES TAWAUfm

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Lahad Datu menuju ke pekan Kunak, manakala lori yang dipandu seorang warga tua berusia 77 tahun itu dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Baharin Md Tahir, berkata sejurus tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun tidak berjaya sebelum melanggar lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, mangsa yang berasal dari Kampung Merpati, Ladang Mostyn dekat sini, terseret sejauh 14 meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baharin berkata, pemandu lori yang turut mengalami kecederaan parah di kepala selain patah tangan kanan, dibawa ke di Hospital Kunak, sebelum di rujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sebelum selekoh arah ke Jalan Lahad Datu dengan keadaan jalan berturap membabitkan satu lorong, dua hala serta garisan berkembar di tengah jalan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *