
LAHAD DATU, 17 Mei – Dua adik-beradik warga asing ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup masuk 14,800 bungkus rokok seludup dalam serbuan di Simpang Tabin, Tungku dekat sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek berusia 26 tahun bersama adiknya, 10 tahun itu ditahan pada 7.18 pagi selepas diekori anggota PPM yang mengesan kedua-duanya dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah van, disyaki membawa rokok seludup.

Susulan penahanan itu, katanya kedua-dua suspek diperiksa dan didapati gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas van turut menemukan pelbagai jenama rokok seludup yang disimpan di dalam plastik hitam.
“Antaranya ialah 7,800 bungkus rokok Absolute, 5,500 bungkus rokok Astro Hitam dan 1,500 bungkus Astro Merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamad Pajeri berkata dalam kejadian itu, turut dirampas sebuah van Toyota Hiace, dua telefon bimbit, beg duit jenama Georgio Armani, wang tunai RM6 selain mata wang asing iaitu 1,000 rupiah dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM97,420.
Kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
— BERNAMA