Warga emas maut dirempuh bas ekspres

LOKASI seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh bas ekspres ketika melintas jalan di jalan di Kilometer 151, Jalan Kota Kinabalu – Sandakan, berhampiran Kampung Paginatan. – Foto Recqueal Raimi

RANAU: Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun maut selepas dirempuh bas ekspres ketika melintas jalan di Kilometer 151, Jalan Kota Kinabalu – Sandakan, berhampiran Kampung Paginatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Lahim Gomboling dari Kampung Paus, Ranau dikatakan berjalan pulang dari klinik kesihatan ke rumahnya.

Bagaimanapun, ketika melintas jalan, mangsa dipercayai tidak menyedari sebuah bas ekspres sedang menuju ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Sharul Abdul Wahab, berkata siasatan awal mendapati mangsa melintas jalan raya tanpa melihat kenderaan pada arah kiri dan kanan.

Katanya, akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan hospital Ranau di lokasi kejadian.

“Kenderaan bas ekspres yang membawa 20 penumpang itu bergerak dari Ranau menuju Kota Kinabalu. Pemandu bas gagal memberhentikan kenderaan ekoran kedudukan mangsa yang terlalu hampir.

“Mangsa yang dirempuh tercampak ke bahu kiri jalan dan meninggal dunia serta-merta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shahrul berkata, siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *