Rentung 60,000 ekor ayam sekaligus

BOMBA berusaha memadam api kebakaran memusnahkan pusat ternakan ayam. Foto ihsan bomba

Tiga blok sepanjang 60 meter yang menempatkan kira-kira 60,000 ekor ayam musnah dalam kebakaran di Pusat Penternakan Ayam Eng Peng Group, di Kampung Bantayan Tamparuli, Tuaran, Sabah.

Kebakaran jam 5.10 pagi tadi disedari sekumpulan pekerja yang tinggal berhampiran sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan segera.

BOMBA berusaha memadam api kebakaran memusnahkan pusat ternakan ayam. Foto ihsan bomba

Pekerja syarikat berkenaan, Rosnah Jimmy, 34, berkata, beberapa pekerja yang baru selesai menunaikan solat subuh terkejut apabila melihat api mula marak di salah sebuah blok reban ayam berkenaan.

Katanya, mereka kemudian mengejutkan pekerja lain dan memaklumkan supaya lari ke tempat selamat selain cuba membantu memadamkan api kebakaran.

“Sebaik terdengar jeritan rakan sekerja, saya terus melarikan diri bersama ahli keluarga serta menghubungi pihak bomba.

“Kebakaran ini akan menyebabkan kerugian besar. Blok ini bukan saja menempatkan lebih 60,000 ekor ayam tetapi juga stor tempat penyimpanan makanan ayam,” katanya tadi.

Rosnah berkata, tindakan tangkas pasukan bomba bagaimanapun berjaya menyelamatkan beberapa lagi blok reban ayam daripada terbakar dalam kejadian ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai dikerah bergegas ke lokasi bersama dua jentera untuk membantu memadamkan api kebakaran.

BOMBA berusaha memadam api kebakaran memusnahkan pusat ternakan ayam. Foto ihsan bomba

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran sebuah bangunan separuh kekal menempatkan tiga blok kandang ayam sudah terbakar hampir 80 peratus dan operasi pemadaman api segera dijalankan.

“Ekoran kekurangan punca bekalan air, pihak bomba juga terpaksa mendapatkan bekalan air (tangki air) daripada jentera BBP Kota Belud dan berjaya memadam api sebelum merebak ke blok lain,” katanya.

Abdul Qawie berkata, api berjaya dikawal jam 7.26 pagi dan setakat ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

BOMBA berusaha memadam api kebakaran memusnahkan pusat ternakan ayam.-Harian Metro

753