10 tahun berbuka puasa dalam kereta api

Penumpang tetap Keretapi Negeri Sabah (KNS) berbuka puasa di dalam gerabak kereta api ketika dalam perjalanan pulang ke Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort, Sabah. Foto Rafiqah Dahali

Berbuka puasa sekali sekala dalam kenderaan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja adalah perkara biasa bagi kebanyakan umat Islam yang tidak sempat sampai ke rumah ketika waktu `bersungkai’ atau berbuka puasa.

Namun, bagi penumpang tetap Keretapi Negeri Sabah (KNS) yang balik ke Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut dan Beaufort, Sabah, mereka sudah lali berbuka puasa di dalam gerabak sepanjang sebulan Ramadan kecuali pada Sabtu dan Ahad.

Malah, ada yang sudah lebih 10 tahun melalui rutin berkenaan setiap kali tiba Ramadan berikutan jadual pergerakan kereta api yang bertolak jam 5.30 petang dari Stesen Sembulan, di sini, dan tiba di lima destinasi itu selepas waktu berbuka puasa.

Penjawat awam dari Papar, Hamizah Senor, 45, yang menjadi pelanggan tetap KNS sejak lebih 10 tahun lalu, berkata, dia sudah biasa berbuka puasa bersama penumpang Islam lain dalam gerabak kereta api ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Hamizah yang bertugas di Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU), berkata, kereta api menjadi pengangkutan pilihan berikutan kedudukan stesennya berhampiran pejabat selain tambang yang murah dengan hanya RM1.85 ke Papar berbanding RM5 sehala jika menaiki bas.

“Sebab itulah saya lebih suka menaiki kereta api sejak bujang hinggalah sudah ada anak sekarang. Lagipun, menaiki kereta api lebih selamat dan tenang berbanding memandu sendiri atau menaiki bas,” katanya.

Tambang perkhidmatan KNS dari ibu negeri tidak berubah sejak lebih 10 tahun lalu iaitu RM1.85 ke Papar, Kimanis (RM2.70), Bongawan (RM3.20), Membakut (RM3.75) dan Beaufort (RM4.80) dengan jarak keseluruhan kira-kira 90 kilometer.

Kebanyakan penumpang tetap perkhidmatan itu adalah penjawat awam yang bertugas di beberapa jabatan negeri dan persekutuan berhampiran Stesen Sembulan, di sini.

Kakitangan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Arifin Mudin, 32, yang balik ke Membakut, berkata perkhidmatan KNS digunakannya sejak sembilan tahun lalu dan sudah menganggap berbuka puasa dalam kereta api sebagai sesuatu yang istimewa.

“Berbuka puasa dalam kereta api sangat istimewa dan menyeronokkan kerana saya dapat berbuka bersama rakan-rakan yang biasa menaiki kereta api sama-sama dengan saya setiap hari.

“Sebelum menaiki kereta api, saya akan singgah membeli juadah berbuka di bazar Ramadan sekitar Sembulan atau Putatan terlebih dahulu untuk dimakan apabila masuk waktu berbuka pada jam 6.24 petang,” katanya.

Sementara itu, bagi kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Ramli Tahir, 36, yang baru sembilan bulan menjadi pelanggan tetap kereta api berulang-alik ke Beaufort, berkata ia tahun ini adalah pengalaman pertamanya berbuka puasa dalam kereta api.

“Berbuka puasa di dalam kereta api tidak sama seperti berbuka puasa bersama keluarga di rumah atau di restoran, namun bagi saya ia satu pengalaman yang istimewa,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *