Polis tiada bukti, dakwaan pembelian undi ketika PRK Sandakan

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah

KOTA KINABALU: Polis tidak memperolehi sebarang bukti mengenai dakwaan berlakunya pembelian undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang berlangsung baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya tidak mempunyai perkembangan baharu mengenai kes terbabit walaupun terdapat satu rakaman video dalam keadaan tidak jelas menunjukkan berlakunya kejadian itu.

Katanya, polis masih berusaha untuk mendapatkan lebih banyak bukti mengenai kejadian itu.

Baru-baru ini, satu laporan polis mengenai kejadian itu telah dilakukan oleh penyokong pembangkang yang mengatakan berlakunya kes pembelian undi ketika proses pengundian berlangsung.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah Datuk Joniston Bangkuai telah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu terbabit dan menyeru agar pihak berkuasa melakukan siasatan dengan segera.

Katanya, laporan oleh Sabah Bersih mengenai PRK Sandakan harus melibatkan tuduhan pembelian undi itu.

Bagaimanapun, jurucakap Sabah Bersih berkata mereka sudah melaksanakan siasatan mengenai perkara itu dan tidak menemukan sebarang bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan berkenaan, oleh itu kes terbabit tidak akan disertakan dalam laporan mereka.

“Bersih tidak boleh memasukkan dakwaan yang berdasarkan khabar angin sahaja,” katanya.

Katanya, walaupun mereka menerima beberapa gambar yang menunjukkan kejadian terbabit, namun mereka tidak dapat memastikan pihak mana yang melakukan perkara itu. Oleh itu, kebenaran tidak dapat diperolehi.

Jelasnya lagi, Bersih hanya melaporkan berdasarkan perkara yang diperhatikan sendiri atau melalui laporan media yang boleh dipercayai.

“Bagaimanapun, sekiranya dakwaan itu benar, maka pihak polis harus mengambil tindakan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *