Menyebabkan Kematian, PATI Dipenjara 3 Tahun Denda Rm5,000

TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Majistet selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming

SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) dihukum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Sani Kaldi, 56, mengaku bersalah atas tuduhan.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda, selain dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran selepas menjalani hukuman.

Mengikut kertas pertuduhan, Sani didakwa memandu Toyota Hilux secara melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan dan kematian wanita warga emas, Siarah Hasan, 71, yang juga penumpang Proton Iswara di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan pada 7 pagi, 19 Mac lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan isterinya baru meninggal dunia selain tidak mempunyai pekerjaan tetap dan perlu menyara lima anak.

Bagaimanapun, pegawai penyiasat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau Asisten Superintendan Joan Lee yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal ke atasnya sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *