(VIDEO) Juruterbang Myanmar mendaratkan pesawat tanpa tayar depan

Penumpang keluar dari pesawat selepas juruterbang berjaya mendaratkan Embraer 190 di lapangan terbang Mandalay. – Foto Reuters

YANGON: Seorang juruterbang Myanmar berjaya mendaratkan sebuah pesawat penumpang tanpa tayar depan, selepas gear pendaratan jet terbabit gagal berfungsi, kata penerbangan itu hari ini.

Ia insiden penerbangan kedua Myanmar minggu ini selepas sebuah pesawat Biman Bangladesh Airlines, tergelincir dari landasan akibat angin kencang di Yangon Rabu lalu menyebabkan 17 penumpang cedera.

Asap di kabin. – Foto Reuters

Seorang pegawai memuji juruterbang terbabit selepas berjaya mendaratkan pesawat Embraer 190 di lapangan terbang Mandalay awal pagi tadi walaupun berdepan masalah teknikal. Tiada kecederaan dilaporkan.

“Juruterbang itu melakukannya dengan baik sekali dan kami sedang menyiasat punca insiden itu,” kata setiausaha tetap kementerian pengangkutan dan telekomunikasi, Win Khant.

Penerbangan kebangsaan, Myanmar National Airlines berkata dalam satu kenyataan, pesawat terbabit berlepas dari Yangon dan sedang menghampiri Mandalay apabila menyedari gear pendaratan jet berkenaan gagal berfungsi.

Juruterbang Myanmar berjaya mendaratkan sebuah pesawat penumpang tanpa tayar depan. – Foto Reuters

Juruterbangnya, Kapten Myat Moe Aung, terbang melintasi lapangan terbang terbabit dua kali bagi membolehkan pengawal trafik udara mengesahkan sama ada gear pendaratan pesawat berjaya diturunkan, kata penerbangan itu.

“Kapten mematuhi semua prosedur kecemasan termasuk membakar bahan api bagi mengurangkan berat ketika pendaratan,” katanya.

Rakaman menunjukkan tayar belakang pesawat mencecah landasan lebih dulu sebelum muncung pesawat direndahkan. Jet itu bergerak agak jauh di landasan menggunakan muncungnya, mengakibatkan ia berasap sebelum berhenti sepenuhnya.

Pihak penerbangan tidak menyatakan jumlah penumpang namun Embraer di laman webnya berkata pesawat itu mampu memuatkan antara 96 hingga 114 penumpang. – Reuters

https://youtu.be/iECUzDrLHqE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *