Kemenangan DAP bukti rakyat mahukan PH terus memerintah

Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kemenangan calon DAP, Vivian Wong Shir Yee, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan membuktikan rakyat mahukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) terus memerintah.

Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, PPBM Sabah mengucapkan terima kasih kerana telah diberi kepercayaan oleh Jentera Pilihan Raya Parlimen Sandakan untuk turut membantu berkempen di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam PRK kali ini.

“Kita juga berbangga kerana kawasan-kawasan PDM yang majoriti pengundinya bumiputera Islam, yang dahulunya calon PH tewas, tetapi kali ini dimenangi oleh PH, seperti di Sim-Sim dan Pulau Berhala.

“Kemenangan ini juga sekali gus membuktikan bahawa pengaruh Umno telah merosot sejak kemasukan PPBM ke Sabah, termasuk di Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji yang juga Adun Sulaman berkata, Vivian bukan sahaja berjaya membantu Kerajaan PH mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan, malah memperoleh majoriti lebih besar iaitu 11,521 undi.

“Bagi pihak PPBM Sabah, saya mengucapkan tahniah kepada DAP dan Vivian Wong di atas kemenangan yang sungguh bermakna itu.

“Ini juga jelas bahawa pengundi di kawasan Parlimen Sandakan mahu Vivian meneruskan agenda dan perjuangan yang telah dibawa dan diwarisi oleh mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Keputusan telah dibuat oleh para pengundi Parlimen Sandakan, maka ia harus dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Vivian memperoleh 16,012 undi menewakan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi) dalam pertandingan lima penjuru.

Tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.

Vivian berjaya mempertahankan kerusi disandang sejak dua penggal lalu oleh bapanya yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mendiang Stephen yang juga pengerusi DAP Sabah, menang dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi berbanding 8,996 undi diperoleh lawannya dari Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon LDP, Datuk Lim Ming Hoo. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *