2 cedera terkena peluru sesat

Gambar Hiasan

RANAU: Hasrat dua bersahabat memburu katak untuk dijadikan umpan memancing tidak kesampaian selepas terkena peluru sesat ketika berehat di tebing Sungai Mohimboyon, di sini semalam.

Difahamkan, kedua-dua mangsa cedera di beberapa anggota badan dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu sebelum dikejarkan ke Hospital Ranau, seterusnya dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka dalam perjalanan ke Sungai Mohimboyon untuk mencari katak dijadikan sebagai umpan memancing.

“Bagaimanapun, ketika kedua-dua mangsa sedang berehat di tebing sungai, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah bukit berhadapan sungai berkenaan. Sebaik saja bunyi tembakan dilepaskan, kedua-dua mangsa menghampiri rakannya dan memaklumkan terkena tembakan.

“Bimbang dengan keselamatan mereka, kedua-dua mangsa bersama rakannya terus beredar dan membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Shahrul berkata, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan.

“Mangsa kemudian dirujuk ke HQE 1 dan hasil pemeriksaan awal melalui imbasan X-ray mendapati ada butir peluru pada hidung, dada, dan perut kedua-dua mangsa.

“Bagaimanapun keadaan kedua-dua mangsa berusia 36 dan 41 tahun yang bekerja sebagai petani stabil dan beransur pulih,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek dalam kejadian itu.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Inspektor Norhafiza Mohd Pozi di talian 0145220506 atau hubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *