Bung Moktar dakwa berlaku pembelian undi di Sandakan

SANDAKAN: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin hari ini mendakwa pembelian undi berlaku dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan yang diadakan semalam.

“Ada pengundi yang beritahu saya bahawa ada guna duit (untuk beli undi). Kita sedang menyemak dakwaan berkenaan,” katanya seperti dilapor The Star.

Semalam, calon DAP Vivian Wong mempertahankan parlimen Sandakan dengan 11,521 majoriti undi mengalahkan calon PBS Linda Tsen dan tiga calon bebas lain.

Tsen, yang mendapat sokongan BN, hanya mampu meraih 4,491 undi.

Semasa berkempen bagi PRK itu, Bung Moktar berkata Umno akan menggerakkan 9,700 ahli di parlimen itu untuk mengundi calon PBS.

Bagaimanapun, The Star memetik Bung Moktar sebagai berkata bahawa Umno hanya berjaya menggerakkan 3,500 ahlinya.

Ahli parlimen Kinabatangan itu juga berkata kekurangan dana merupakan sebab pengundi yang berada di luar kawasan tidak dapat dibawa pulang untuk mengundi. – MalaysiaKini