Promosi pelancongan di pantai timur Sabah

TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Christina Liew melawat ruang pameran pada majlis pelancaran Pameran MATTA Sabah 2019 di Penampang, hari ini. – Foto Edmund Samunting

PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan terus mempromosikan sektor pelancongan di pantai timur bagi menyeimbangkan kehadiran pelawat di seluruh negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, pelaksanaan usaha melalui Lembaga Pelancongan Sabah itu sekali gus bakal membantu merancakkan lagi peluang perniagaan di pantai timur negeri ini.

“Saya menghargai usaha Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang bekerjasama rapat dengan kementerian dalam mempromosikan pelancongan di pantai timur Sabah.

“Ini termasuklah melancarkan ‘30 Tawau Packages’ atau 30 Pakej Tawau pada Julai tahun lalu dan Cuti-Cuti Tawau sempena Pameran MATTA di Kuala Lumpur pada Mac lalu.

“Selain itu, Cuti-Cuti Sandakan dijangka dilancarkan pada tahun ini. Sandakan memiliki tempat menarik yang perlu diterokai dengan keindahan alam semula jadi dan hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pameran MATTA Sabah 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, dan Pengerusi MATTA Sabah, Lawrence Chin.

Sehubungan itu, Liew berkata, MATTA diharap akan terus menganjurkan lebih banyak program yang memanfaat dan menggalakkan industri pelancongan di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga akan terus mencari produk baharu dalam industri pelancongan bagi memastikan pelancong ada alasan untuk kembali ke negeri ini.” katanya.

Beliau turut berharap 550 syarikat pelancongan sedia ada di Sabah akan membantu usaha kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Liew berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung kes beberapa bot pelancong beroperasi di perairan Kota Belud diperiksa Pasukan Polis Marin (PPM) dan didapati melakukan kesalahan, termasuk menyediakan alat pemadam api tamat tempoh serta membawa lebihan penumpang.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada pegawai penguat kuasa, perkara ini membahayakan pelancong,” katanya.

Pada 8 Mei lalu, sembilan pengusaha bot pelancong dikompaun atas pelbagai kesalahan dalam Ops Gelora dijalankan PPM di sekitar perairan Kota Belud.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, dilaporkan berkata antara kesalahan dikesan ialah membawa penumpang melebihi muatan, alat pemadam api tamat tempoh dan gagal memaklumkan pertukaran juragan.

Terdahulu, Chin berkata, Pameran MATTA Sabah 2019 membabitkan sebanyak 115 gerai dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM80 juta. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *