PPM Gagalkan Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM25,000

5,000 bungkus rokok putih bernilai RM25,000 dirampas pihak berkuasa. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

LAHAD DATU: Penahanan sebuah bot laju bersama juragannya di pesisir pantai Kampung Kenali, Felda Sahabat 16, di sini malam kelmarin berjaya membongkar cubaan menyeludup masuk rokok haram ke negeri ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika kejadian pegawai dan anggotanya sedang menjalankan Ops Landai sebelum terserempak sebuah bot laju kira-kira jam 10 malam.

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Sebaik bot berkenaan didekati dan anggota bertugas memperkenalkan diri, juragan terus terjun ke laut sebelum berenang ke kawasan semak berhampiran dan meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati muatan rokok putih disembunyikan dalam beberapa beg plastik hitam di ruang rahsia bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pajeri berkata, pemeriksaan lanjut semua rokok sebanyak 5,000 bungkus bernilai RM25,000 dipercayai belum dibayar cukai, dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.

Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Bot bersama enjin dan peralatan serta rokok dirampas, seterusnya dibawa ke Pangkalan Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM55,200. Semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *