Kemenangan DAP tamparan hebat buat Najib, kata Kit Siang

KOTA KINABALU: Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kemenangan parti itu dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil Sandakan hari ini ialah perubahan nasib politik Pakatan Harapan selepas 3 kekalahan berturut-turut dalam PRK di Semenanjung kepada Barisan Nasional.

Katanya, calon DAP, Vivian Wong mencatat sejarah dengan memenangi “majoriti terbesar dalam sejarah Sandakan” melebihi majoriti 10,000 undi yang dimenangi bapanya, Stephen Wong pada 2013.

Beliau berkata, keputusan hari ini memberi tamparan hebat kepada kempen Malu Apa Bossku oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

Vivian menang dengan majoriti 11,521 undi, mengalahkan 4 pencabar lain daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Linda Tsen dan 3 calon bebas, iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Samat yang kehilangan deposit mereka.

Vivian meraih 16,012 undi berbanding 4,491 undi yang diperolehi Tsen, Hamzah (788 undi), Chia (178 undi) dan Sulaiman (126 undi).

Vivian yang gembira dengan kemenangannya, mengucapkan terima kasih kepada sokongan rakyat yang juga penyokong bapanya.

Stephen memenangi kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum 2013. Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti 10,098 undi.

Presiden PBS, Maximus Ongkili mengucapkan tahniah kepada Vivian dan berharap DAP akan mengotakan semua janjinya.

Katanya, walaupun keputusan hari ini tidak memihak kepada PBS, tetapi ia menunjukkan parti itu masih parti peneraju yang disegani.

“Pada permulaannya, PBS mengiktiraf diri sebagai parti politik bukan pilihan berdasarkan keputusan pilihan raya bagi kawasan ini pada PRU14.

“PBS sudah memberi tentangan hebat, tetapi akhirnya kami tidak dapat menewaskan kekuatan yang kami hadapi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kemenangan di Sandakan ialah hadiah terbaik untuk ulang tahun pertama pentadbiran PH.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal yang juga ketua menteri Sabah.

“Shafie benar-benar menunjukkan pengaruhnya dalam pilihan raya ini.

“Hakikat beliau boleh menggerakkan semua pengundi untuk memilih DAP menunjukkan solidariti kerajaan Sabah dengan kerajaan persekutuan yang diketuai Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *