‘Kantoi’ kali kedua

POLIS memeriksa perigi berkenaan. FOTO Agensi

BEIJING: Seorang lelaki di timur laut China mengaku melemaskan teman wanitanya dalam perigi lima tahun selepas berjaya mengelak didakwa susulan kematian isterinya dengan cara sama, lapor media tempatan.

Lelaki cuma dikenali sebagai Zhang itu ditahan selepas disyaki menolak teman wanitanya bernama Li, 51, ke dalam perigi dan cuba menampakkan kejadian itu satu kemalangan, lapor Liaoshen Evening News.

Bagaimanapun, polis mengesyaki sesuatu tidak kena dan dia akhirnya mengaku membunuh dua wanita terbabit menggunakan taktik sama iaitu melemaskan mereka.

South China Morning Post melaporkan, Zhang mengaku membunuh Li kerana sering mempertikaikan kesetiaannya selain mengancam memberitahu polis kisah sebenar kematian isterinya.

Susulan itu, polis memberitahu media, Zhang mengaku bersembunyi di kediaman Li di Huludao, wilayah Liaoning pada 28 April lalu sebelum menolaknya ke dalam perigi dan membaling baldi.

Zhang kemudian merenjat mangsa yang cuba memanjat keluar.

Bagi menutup perbuatannya, Zhang menggunakan telefon bimbit Li untuk bertukar-tukar pesanan seolah-olah dia berada di tempat lain ketika kejadian.

Polis tidak percaya kejadian itu satu kemalangan kerana perigi berkenaan agak cetek dan tidak sukar untuk memanjat keluar, kata anggota polis Xing Guangjiang.

Zhang ditahan dua hari kemudian dan mengaku membunuh isterinya pada Ogos 2014 dengan menolaknya ke dalam kolah air dan menahan kepalanya di bawah permukaan air.

Menurut Zhang, dia dan isteri sering bertengkar selepas wanita itu mendapat tahu dia curang. Katanya, dia berjaya meyakinkan keluarga mentua bahawa kematian isterinya itu satu kemalangan menyebabkan tiada sesiapa membuat laporan polis.

Zhang kemudian mengaku perbuatannya itu kepada Li, namun tidak menyangka wanita itu akan menaruh kesangsian terhadapnya malah mengancam melaporkannya kepada polis. – Agensi

398