2,664 Premis Bazar Ramadan Diperiksa Dalam Ops Ramadan

Ravichandran (kanan) bersama pegawai kesihatan memeriksa premis perniagaan di bazar Ramadan Lintasan Deasoka dalam Ops Bazar Ramadan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan sebanyak 61 saman terhadap peniaga bazar Ramadan dalam pemeriksaan Ops Bazar yang dijalankan di 2,664 premis melibatkan 62 lokasi di seluruh negeri, semalam.

Timbalan KPDNHEP Sabah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, V Ravichandran berkata  setakat ini pihaknya mengambil pendekatan memberikan amaran kepada peniaga disebabkan golongan berkenaan adalah perniaga bermusim.

Bagaimanapun, Ravichandran berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya kesalahan sama masih dilakukan ketika pemeriksaan ulangan.

Seorang peniaga menunjukkan kurma yang dijual di gerainya kepada Ravichandran (kanan) bersama pegawai kesihatan semasa Ops Ramadan Lintasan Deasoka sempena Ops Bazar Ramadan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Banyak amaran diberikan berkaitan tanda harga yang kurang lengkap. Tanda harga penting bagi setiap barang yang ditawar diperingkat runcit.

“Tanda harga wajib lengkap bagi memudahkan pembeli membuat perbandingan harga untuk barangan makanan dan minuman selain alat timbang untuk menimbang barangan makanan dan minuman ditetapkan mengikut sukatan perlu ditentusahkan.

“Selain itu, kita turut memastikan di semua bazar ramadan tidak dijual barangan tiruan kerana adakalanya terdapat peniaga buka gerai jualan pakaian, kasut dan peralatan selain perniagaan makanan serta minuman,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemeriksaan Bazar Ramadan 2019 di Lintasan Deasoka, di sini hari ini.

Dilaksanakan bermula 7 Mei sehingga 4 Jun ini, terdapat sebanyak 88 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri yang diluluskan kerajaan dan penguatkuasa tempatan utk dijadikan tapak bazar Ramadan untuk tahun ini.

Ravichandran (kiri) memeriksa premis perniagaan di bazar ramadan Lintasan Deasoka sempena Ops Bazar Ramadan di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Dalam pada itu Ravichandran menyatakan pihaknya juga belum menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kenaikkan harga barangan makanan mahupun minuman di bazar ramadan atau berkaitan kesalahan lain.

Katanya KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama semua peniaga bazar Ramadan kerana tidak menaikkan harga makanan yang dijual di premis mereka sempena Ramadan kali ini.

“Saya bersama pegawai kementerian kesihatan juga ada bertanya tentang perkara ini kepada beberapa orang awam di bazar ramadan ini dan mereka menyatakan harga masih sama seperti tahun lalu,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *