14 Tahun BN-PBS Janji Skim Sewa Beli PPR Taman Mesra Tetapi…

Jaujan Sambakong berjumpa dengan penduduk PPR Taman Mesra dalam kempen rumah-ke-rumah malam Khamis.

SANDAKAN: Penduduk di program perumahan rakyat (PPR) Taman Mesra mengakui telah dijanjikan skim sewa beli untuk memiliki kediaman di situ oleh Barisan Nasional (BN), namun tidak pernah ditunaikan.

Abdul Halik Harun berkata, janji tersebut telah diberikan sejak tahun 2005 oleh bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman tetapi selama tiga penggal beliau memerintah janji tersebut hanya tinggal janji.

Hakikatnya, penduduk di situ terpaksa membayar sewa sepanjang hayat kepada kerajaan sedangkan hartanah berkenaan tidak dapat menjadi milik sendiri seperti dijanjikan.

“Saya pindah di sini pada tahun 2005 bersama keluarga, masih ingat lagi sejak hari pertama di sini BN sudah berjanji kononnya kami akan dapat memiliki rumah ini.

ABDUL HALIK HARUN

“Tetapi selepas 14 tahun tiada apa-apa yang dilakukan, setiap kali pilihan raya pun pasti pemimpin BN akan janji benda sama bayangkan dalam tempoh itu sudah berapa banyak duit kami yang dibayar kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui BorneoTodaysemasa kempen rumah ke rumah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong di PPR itu malam tadi (Khamis).

Seorang lagi penduduk, Rubiya Abdul, 30, berkata, dia amat berharap agar skim sewa beli itu dapat dilaksanakan agar harapannya memiliki kediaman sendiri tertunai.

“Saya tinggal di sini menyedari rumah ini bukan milik saya, bila-bila sahaja boleh diambil oleh orang lain kerana kami cuma penyewa.

RUBIYA ABDUL

“Saya berharap kerajaan sekarang dapat membantu rakyat kerana banyak usaha sudah dilakukan agar skim sewa beli itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, terdapat sebanyak 27 PPR di seluruh negeri membabitkan 19,491 kediaman dan kesemuanya menggunakan sistem sewa sepanjang hayat.

Katanya, sejak hari pertama memimpin kementerian, beliau telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar skim sewa beli itu dapat dilaksanakan segera untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Langkah yang diambil kerajaan sebelum ini tidak bertepatan dengan kehendak rakyat sebab itulah antara usaha kementerian ialah supaya skim sewa beli digunakan.

“Kalau betul kerajaan mahu bantu rakyat miliki kediaman maka inilah salah satu caranya, bukan sewa sepanjang hayat kerana itu akan menjadi bebanan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak swasta membina lebih banyak PPR untuk rakyat selepas ini dengan harga mampu milik RM200,000. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *