Liew minta rakyat Sabah beri peluang kerajaan negeri buktikan kemampuan

KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew meminta rakyat di negeri itu memberi peluang sekurang-kurangnya satu penggal untuk kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) membuktikan kemampuan dalam melaksanakan pembangunan dan melonjakan pertumbuhan ekonomi.

Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah melakukan terbaik dalam menyelesaikan beberapa masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu selepas setahun menerajui pentadbiran negeri itu.

Ini termasuk memperkenal beberapa dasar baharu bagi membawa lebih manfaat kepada pembangunan dan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya, katanya.

“Saya fikir adalah lebih adil memberi kami sekurang-kurangnya satu penggal (membuktikan kemampuan membawa pembangunan dan memperkukuh ekonomi). Ketua Menteri telah berusaha melakukan terbaik termasuk pergi ke China untuk membawa pelaburan ke Sabah, “ katanya kepada pemberita di sini hari hari sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) dan Warisan di Sabah.

Menurutnya, projek merancakkan industri pelancongan negeri terus dipergiatkan dengan pembinaan hotel.

Liew mengulas kenyataan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kota Kinabalu, Datuk Michael Lui yang mahu kerajaan PH memenuhi aspirasi rakyat dengan mengambil langkah melaksanakan pembangunan dan mempercepat pertumbuhan ekonomi kerana parti gabungan itu akan memasuki tahun kedua pentadbiran selepas mengambil alih Putrajaya pada 9 Mei tahun lepas.

Di Sabah, Warisan telah membentuk kerajaan negeri gabungan bersama UPKO dan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.

Dalam pada itu, Liew tidak menafikan berlaku banyak kekurangan insentif dalam pembangunan perniagaan, namun, perkara itu tidak hanya tertumpu di Sabah sahaja.

Bagaimanapun, kerajaan negeri komited untuk membantu mempromosi sekali gus memasarkan produk usahawan tempatan bagi melonjakkan pendapatan dan meluaskan lagi peluang perniagaan mereka, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *