UPKO yakin Kadazandusun, Sungai memihak kepada DAP

PRESIDEN UPKO, Datuk Seri Madius Tangau (empat dari kanan) bersama calon DAP, Vivian Wong Shir Yee (tengah) serta Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick (enam dari kanan) bergambar beramai selepas Majlis Ceramah Perda

SANDAKAN: Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yakin pengundi Kadazandusun dan Sungai serta etnik Bumiputera lain di sini akan memberikan sokongan kepada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.

Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat pelbagai kaum termasuk Cina dan etnik Bumiputera termasuk Kadazandusun dan Sungai terhadap calon DAP, Vivian Wong Shir Yee.

“Selepas beberapa hari berada di Sandakan untuk membuat tinjauan dan perkongsian maklumat dengan rakan di sini, saya amat yakin sokongan masyarakat Sandakan berpihak kepada calon DAP, Shir Yee pada PRK Parlimen Sandakan11 Mei ini.

“Sehubungan itu, saya merayu semua pengundi di Sandakan khususnya Bumiputera dalam kalangan masyarakat Kadazandusun, Sungai dan suku etnik anak negeri yang lain supaya memberikan sokongan kepada Shir Yee,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi UPKO menganjurkan ceramah perdana sempena PRK berkenaan, di sini yang turut dihadiri presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau; Naib Presiden UPKO, Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Limus Jury.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, berkata pengundi Sandakan perlu memberi peluang kepada Shir Yee untuk meneruskan perjuangan wakil rakyat sebelum ini demi kebaikan rakyat Sandakan.

“Walaupun dari segi usia, Shir Yee adalah yang paling muda di antara calon yang bertanding namun bagi saya usia muda tidak semestinya tidak boleh bekerja, sebaliknya cabaran itu akan menjadikan kita lebih bermotivasi dan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, bapa Shir Yee, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, ketika menjadi Ahli Parlimen dan jemaah Kabinet negeri banyak menyuarakan keperluan pembangunan dan masalah yang dhadapi rakyat di kawasan ini.

“Mendiang Stephen Wong amat konsisten, misalnya dalam setiap mesyuarat Kabinet, beliau menyuarakan masalah yang memerlukan keputusan Kabinet seperti pembesaran Lapangan Terbang Sandakan dan keperluan untuk menarik pelaburan dan industri di daerah ini.

“Saya tahu kepemimpinan dan perjuangan mendiang akan diteruskan oleh Shir Yee kerana sepanjang mendiang berkhidmat sebagai wakil rakyat dan jemaah menteri, Shir Yee adalah pegawai khas dan lebih tahu pembangunan yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Ewon berkata, selain soal pembangunan Sandakan, mendiang Tien Fatt selaku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat turut komited dalam mengurus hal kebajikan dan membentangkan dalam Kabinet keperluan kebajikan rakyat.

Katanya, apa yang dibentangkan mendiang Tien Fatt sebelum ini dipersetujui oleh Kabinet dan ia memberi manfaat kepada ramai komuniti Bumiputera yang tersenarai dalam e-Kasih dan memerlukan bantuan kebajikan.

“Saya fikir itulah legasi beliau yang bukan sahaja akan diteruskan oleh Shir Yee tapi kita juga akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa oleh kerajaan negeri persekutuan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *