Semua Blok Pembangkang Harus Bersatu Sokong Linda – Bung Moktar

Bung bersama dengan calon PRK Sandakan PBS, Datuk Linda Tsen serta pemimpin PBS dan Umno Sabah menunjukkan isyarat tangan ‘ nombor lima’.

SANDAKAN: Sesi ceramah PBS PDM Sim-Sim yang menampilkan Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin sebagai penceramah malam tadi menyaksikan kehadiran hampir semua wakil semua blok pembangkang di Sabah.

Selain pasukan dari Umno Sabah, turut bersama ialah wakil Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah, Star, Pas dan Usno di Flat Sim-Sim.

Bung bersama dengan calon PRK Sandakan PBS, Datuk Linda Tsen serta pemimpin PBS dan Umno Sabah menunjukkan isyarat tangan ‘ nombor lima’.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turun buat kali pertama di sini bagi memberi sokongan kepada calon PRK Sandakan PBS Datuk Linda Tsen.

Dalam ceramahnya, beliau berkata pemimpin blok pembangkang Sabah harus bersatu hati untuk menyokong Linda.

“Walaupun tiada persetujuan (rasmi) tetapi semua sanggup bersatu hati untuk menyokong calon PBS,” katanya.

Bung menambah rakyat Sabah di sini harus menjadikan PRK Sandakan sebagai isyarat kepada kerajaan Pakatan Harapan bahawa mereka inginkan pembaharuan.

Namun beliau mengingatkan ianya tidak akan mampu dikecapi sekiranya rakyat Sabah tidak sehaluan dan terus berpecah belah.

“Oleh itu berilah sokongan kepada calon PBS,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa gerakan Umno Sabah menjejak ahli-ahlinya di lima bahagian termasuk 4,800 ahli di Sandakan yang mengundi di sini berjalan dengan lancar.

Menurutnya, sekiranya semua berjalan baik Umno Sabah akan mendapat autonomi penuh pada tahun ini.

“Tidak payah lagi bergantung kepada Umno di Malaya … Kita boleh pilih rakan kita sendiri di pilihanraya masa depan,” katanya.

Antara yang hadir daripada Umno ialah setiausaha perhubungan Jefri Ariffin,  ketua Wanita Umno Sabah, Jainab Ayid Ahmad, bekas Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya dan timbalan presiden Anak Negeri Sabah, Dr Edwin Bosi.

Sesi itu dihoskan oleh Adun PBS bagi Labuk Abdul Rahman Kongkawang yang juga pengerusi PDM Sim-Sim PBS dan antara pemimpin PBS yang hadir ialah setiausaha agung Datuk Jahid Jahim, ketua penerangan Datuk Joniston Bangkuai, naib presiden Datuk Johnny Mositun dan juga Linda.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *