
TAWAU : Kesihatan FC muncul juara Pertandingan Bola Sepak Liga Super Safa bagi merebut Piala Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan selepas menewaskan Ranggu FC dengan jaringan 4-0 pada perlawanan akhir piala itu di Kompleks Sukan Tawau semalam.
Kesihatan FC membawa pulang wang tunai RM10,000, piala iringan dan medal manakala naib johan Ranggu FC membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala iringan dan medal.

Sementara itu Sharizam Sahar dari Kesihatan FC turut dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan manakala Bombalai JR merangkul Pasukan Terbaik.
Penerima Anugerah Liga Safa Tawau 2019 juga diberi kepada Pengurus Terbaik (MPT FC), Jurulatih Terbaik (Perillys FC), dan Penyokong Pasukan Terbaik (Stinger FC).

Presiden Safa Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang turut menyaksikan perlawanan akhir berkenaan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Nizam ketika ditemui berkata Safa Tawau melaksanakan pebagai kejohanan bola sepak setiap tahun di daerah ini.

“Antara lain termasuklah Liga Super Safa, Piala Perdana dan Piala FA yang mana secara keseluruhan menyediakan wang tunai terkumpul hampir RM30,000,” katanya.
Nizam berkata ia adalah usaha Safa Tawau untuk mencungkil bakat-bakat baharu selain mendedahkan para penggemar bola sepak daerah ini dengan kejohanan yang berkualiti.