Jelius puas benam Selangor United

Jelius Ating. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kemenangan tipis 1-0 Sabah terhadap Selangor United dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, di sini, semalam, sudah cukup memadai buat pengendalinya, Jelius Ating.

Sekali pun terlepas beberapa peluang baik untuk menambah jaringan, namun Jelius tetap berpuas hati dengan kejayaan meraih tiga mata.

“Memang kita memiliki beberapa peluang baik tetapi bagi saya apa yang penting adalah mengutip tiga mata, tidak kisahlah berapa gol pun.

“Perlawanan malam ini (semalam) juga bukanlah mudah, Selangor United memberi saingan yang sangat sengit namun saya bersyukur kerana kita memenanginya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, semalam. 

Pada aksi itu, gol tunggal penyerang import, Rodoljub Paunovic pada minit keenam sudah cukup untuk memastikan kemenangan Sabah seterusnya merampas semula kedudukan kedua liga daripada UiTM FC. 

Jelius berkata, skuad Tambadau perlu terus fokus untuk aksi akan datang, sekali gus mengumpul seberapa banyak mata yang boleh di pusingan kedua liga.

“Kedudukan kami ketika ini masih belum selesa dan jika tersilap langkah pasukan lain masih mampu memintas. 

“Kami perlu terus bekerja keras untuk memenangi perlawanan seterusnya mencapai sasaran utama musim ini iaitu layak beraksi di Liga Super musim depan,” katanya. 

Sabah akan meneruskan saingan liga mereka dengan dua aksi di gelanggang lawan iaitu bertemu UKM FC pada 17 Mei dan Pulau Pinang pada 25 Mei ini.  – Berita Harian