Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok

KAKITANGAN Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melakukan cerapan anak bulan Ramadan mengikut kaedah rukyah dan hisab bagi penentuan awal Ramadan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. – Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok (Isnin), 6 Mei 2019, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini, 5 Mei, Ahad bersamaan 29 Syaaban 1440 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *