Doktor wanita ditipu Macau Scam

BEAUFORT: Seorang doktor wanita kerugian RM43,000 selepas termakan umpan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Wanita berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM, jam 8.13 pagi, 26 April lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak Azmir, berkata lelaki itu mengatakan mangsa membuat pindahan wang sebanyak tujuh kali berjumlah RM530,000 dan terbabit dengan pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

“Mangsa kemudian disambungkan dengan ‘Sarjan Fadly Abdullah’ dari Bahagian Bukit Aman yang memberitahu mangsa ada waran tangkap dan waran untuk pembekuan aset.

“Bagaimanapun ‘sarjan’ itu mengatakan ada seorang pegawai polis boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah dengan syarat semua aset mangsa dipindahkan ke dalam akaun atas nama Tay Guan secara dalam talian berjumlah RM4,000,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan kemudian membuat transaksi wang ke dalam dua akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM43,000.

“Selepas membuat pembayaran, barulah mangsa sedar yang dirinya tertipu dan membuat laporan polis jam 4.26 petang, kelmarin.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu,” katanya.

Azmir berkata, orang ramai dinasihatkan untuk merujuk ke jabatan yang berkaitan atau hadir ke jabatan kerajaan yang dinyatakan bagi mendapatkan pengesahan.

“Polis, SPRM, mahkamah dan lain-lain badan penguat kuasa Kerajaan Persekutuan atau negeri tidak akan berurusan melalui telefon atau teknologi komunikasi maklumat.

“Sebaliknya hanya akan berurusan dengan surat rasmi atau datang sendiri ke pejabat atau tempat tinggal saksi jika ingin memperoleh maklumat berkaitan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *