Kru kapal hilang di laut

LABUAN: Seorang kru kapal dikhuatiri lemas di perairan Pelantar Gumusut Kakap, dekat sini, kelmarin.

Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu disedari hilang oleh kru lain kira-kira jam 1 tengah hari sebelum melaporkan kehilangannya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada hari sama kira-kira jam 3 petang.

“Mangsa bekerja di bahagian katering di dalam kapal terbabit dan disedari hilang oleh kru lain.

“Operasi SAR dimulakan sebaik laporan diterima daripada pengadu dan pencarian mangsa masuk hari kedua semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam operasi semalam kawasan pencarian dipecahkan kepada enam sektor di keluasan 184 batu nautika persegi.

“Antara aset yang terbabit dalam operasi ini termasuk aset udara dan laut milik pelantar minyak berkenaan.

“Selain itu, aset udara dari Brunei juga turut membantu dalam pencarian di sempadan negara,” katanya.

Katanya lagi, operasi itu terpaksa ditangguhkan semalam selepas mangsa tidak ditemui dan disambung pada pagi ini.

Terdahulu, Kamaruszaman menasihatkan kepada komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

“Komuniti maritim diminta memaklumkan sebarang kejadian kecemasan yang berlaku di laut kepada pihak Maritim Malaysia atau talian kecemasan di 999 untuk diberi bantuan segera,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *