Pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar jadi tarikan di Sandakan

KELIHATAN pelancong asing merakam gambar dengan beberapa ekor lotong atau silver leaf monkey di Pusat Santuari Monyet Proboscis Labuk Bay. – Foto BERNAMA

SANDAKAN: Pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar khususnya pelancong asing dan domestik ke daerah ini.

Satu daripada tarikan itu adalah Pusat Santuari Monyet Belanda Labuk Bay terletak dalam ladang kelapa sawit persendirian di kawasan paya bakau Semawang, kira-kira 48 kilometer dari pusat bandar Sandakan.


KELIHATAN pelancong dari China, Chow Lee Khoon berswafoto dengan seekor lotong atau silver leaf monkey di Pusat Santuari Monyet Proboscis Labuk Bay. – Foto BERNAMA

Ia menjadi tumpuan pelancong asing dan domestik yang ingin melihat lebih dekat Monyet Belanda yang diketahui memiliki rupa paras yang berlainan dari monyet yang wujud di dunia.

Pusat santuari ini dibina hasil inisiatif pemilik ladang sawit yang melihat adanya monyet tinggal di hutan bakau persisiran laut dalam kawasan ladang itu dan seterusnya pihak pengurusan mendapatkan nasihat dari pihak berkaitan dan membuat prasarana khusus supaya kumpulan monyet terus kekal mendiami kawasan itu.

PUSAT yang terletak kira-kira 48 kilometer dari pusat bandar Sandakan itu menjadi antara tempat kunjungan wajib pelancong untuk melihat wajah monyet berhidung besar yang terdapat di kepulauan Borneo. – Foto BERNAMA

Dua pelantar kayu dalam kawasan paya bakau dibina untuk meletakkan makanan berupa belahan timun dan lempeng tawar.

Waktu pemberian makanan kepada monyet belanda di santuari ini ialah pada jam 9.30 pagi dan 2.30 petang untuk pelantar A dan pelantar B pada jam 11.30 pagi dan 4.30 petang.

Terdapat dua pelantar A dan B yang dipisahkan jarak antara dua kilometer kerana mengambil kira kumpulan monyet yang dominan di sesuatu kawasan bagi mengelakkan pergaduhan antara kumpulan dalam mendapatkan makanan.

Seorang pemandu pelancong Pusat Santuari Monyet Proboscis Labuk Bay, Mohamad Jonathan, 35, memberitahu Bernama, monyet belanda memakan pucuk pohon pokok sekitar kawasan itu terutamanya di hutan bakau.

Katanya makanan yang diberikan di santuari ini hanyalah makanan tambahan diet kepada mereka dan tiada jaminan monyet akan datang ke pelantar semata-mata untuk mendapatkan makanan dan dapat dilihat oleh pengunjung.

PUSAT yang terletak kira-kira 48 kilometer dari pusat bandar Sandakan itu menjadi antara tempat kunjungan wajib pelancong untuk melihat wajah monyet berhidung besar yang terdapat di kepulauan Borneo. – Foto BERNAMA

Mohamad berkata kebiasaannya monyet belanda ada di kawasan itu dan pelancong tidak akan kecewa.

“Saya gembira melihat monyet belanda ini, tugas saya memberi mereka makan dan pelancong ramai yang ke santuari ini dapat melihat hidupan liar ini,” katanya yang bekerja di santuari ini sejak 2008.

Menurutnya pengunjung diingatkan dan dilarang dari menyentuh haiwan liar ini walaupun sekiranya ia mendekati mereka.

Sementara itu, sebuah lagi tarikan pelancongan hidupan liar yang sinonim dengan Sandakan adalah Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, kira-kira 18 kilometer dari bandar Sandakan.

Di sini, pengunjung boleh melihat lebih dekat orang utan ketika waktu makan diberikan kepada orang utan di pelantar disediakan pada jam 10 pagi dan 3 petang pada setiap hari.

Pekerja di pusat pemuliharaan ini memberikan makanan berupa sayur-sayuran dan pisang untuk diletakkan pada pelantar.

Program Konservasi hidupan liar di Orang Utan Sepilok ini dikendalikan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Usaha kesedaran terhadap pemuliharaan orang utan di pusat ini menjadi keutamaan dan ini dilihat dari segi pembinaan papan tanda promosi dan kesedaran.

Maklumat bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan memahami dan menjaga khazanah alam dan hidupan liar yang sememangnya sedia wujud di daerah ini.

Bersebelahan pusat ini, terdapat sebuah lagi pusat pemuliharaan hidupan liar iaitu Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC).

Pusat konservasi ini beroperasi pada 2008 membolehkan pengunjung melihat lebih dekat beruang madu menerusi pelantar memerhati yang disediakan dan turut terdapat di sini adalah pejabat pusat maklumat beruang madu.

BSBCC yang beroperasi di kawasan seluas 2.5 hektar menempatkan lebih 40 beruang madu yang diselamatkan.

Pusat itu dilengkapi kemudahan seperti kandang hutan besar untuk menyediakan persekitaran semula jadi, sesuai dengan keperluan dan kebajikan beruang madu serta memudahkan pemulihan hidupan liar itu kembali ke dalam hutan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *