26 bahagian Bersatu Sabah, Labuan diluluskan RoS

Muhyiddin menyerahkan Surat Kebenaran Menubuhkan Bahagian BERSATU di Sabah dan Labuan kepada Hajiji di bilik kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan 26 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah dan Labuan.

Kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat ROS pada 3 Mei lalu kepada BERSATU Sabah yang ditubuhkan pada 6 April lalu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyerahkan Surat Kebenaran Menubuhkan Bahagian BERSATU di Sabah dan Labuan kepada Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, di sini hari ini.

Surat kelulusan penubuhan bahagian termasuk satu di Labuan, diserahkan dalam satu majlis di bilik kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Bercakap kepada media, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berharap penubuhan 26 bahagian BERSATU di Sabah dan Labuan akan selesai dalam tempoh tiga bulan selepas mendapat kelulusan ROS.

“Saya berharap ia dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan ini (penubuhan bahagian) kerana saya dimaklumkan kira-kira 127,000 orang sudah mendaftar sebagai ahli BERSATU di Sabah, setakat ini.

“Selepas ini apabila bahagian sudah dapat ditubuhkan, semua ahli ini akan masuk mengikut bahagian masing-masing. Semua yang hadir pada pagi ini adalah pimpinan penaja bahagian untuk tempoh tiga bulan,” katanya.

Pada 6 April lalu, BERSATU Sabah dilancarkan secara rasmi di negeri ini oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Komersil dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di Penampang.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Muhyiddin turut meluangkan masa hampir sejam melawat timbalannya, Datuk Azis Jamman yang menerima rawatan di Hospital Gleneagles selepas terbabit dalam kemalangan pada 24 April lalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *