‘Terjatuh dari udara’, jurupandu paragliding, penumpang cedera

Seorang wanita warga China dan jurupanduparagliding cedera selepas terjatuh ketika hampir mendarat di Kompleks Sukan Ranau dihantar ke Hospital Ranau untuk rawatan. – Foto Recqueal Raimi

RANAU: Seorang wanita warga China dan jurupandu paragliding tempatan cedera selepas terjatuh ketika hampir mendarat di Kompleks Sukan Ranau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, jurupandu lelaki, Sawrianto Sawin, 44, dan penumpang Lei Teng, 29, cedera di bahagian pinggang namun belum dapat dipastikan tahap kecederaan mereka.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Devi Rashedee Engsoi, berkata sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.26 petang, enam anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera, kenderaan utiliti jenis pacuan empat roda dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan bomba berjalan sejauh 2.5 kilometer ke dalam hutan dan mendapati kedua-dua mangsa tidak dapat berdiri dan mengadu sakit pada bahagian pinggang.

“Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal dan diangkat menggunakan pengusung ke laluan jalan raya sebelum dibawa menaiki EMRS untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Devi berkata, kedua-dua mangsa sepatutnya mendarat di kawasan pelepasan Kompleks Sukan Ranau namun mengalami masalah teknikal sebelum terjatuh ke kawasan hutan berhampiran.

“Pihak bomba tidak dapat memastikan ketinggian kedua-dua mangsa terjatuh namun mereka bernasib baik kerana terjatuh di kawasan lapang,” katanya.

Menurutnya lagi, pasukan bomba menamatkan operasi jam 5.40 petang selepas mangsa dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *