Sabah tonjol penguasaan

PASUKAN lelaki Sabah ceria ketika meraikan kemenangan di Kejohanan Badminton Sirkit Junior Kebangsaan Divisyen Satu di Johor, hari ini.

KUALA LUMPUR: Sabah memegang status kuasa besar baharu dalam sukan badminton di peringkat junior apabila membolot empat daripada 12 gelaran yang dipertandingkan di kejohanan Sirkit Junior Kebangsaan (aksi kedua) Divisyen Satu di Johor, hari ini.

Pada aksi pertama di Pulau Pinang, Mac lalu, Sabah berkongsi tiga gelaran bersama-sama Selangor dan Johor. 

PASUKAN wanita Sabah ceria ketika meraikan kemenangan di Kejohanan Badminton Sirkit Junior Kebangsaan Divisyen Satu di Johor, hari ini.

Berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Johor di Larkin, Sabah memulakan rentak kemenangan menerusi Andrew Aguwell menerusi kategori lelaki perseorangan Bawah 14 tahun. 

Pilihan utama itu mengekalkan gelarannya dengan penuh gaya, menewaskan pilihan kedua, Azuan Amirul Imran dari Johor 16-21, 21-12, 25-23.

Arena Satu Samin kemudiannya mengekori jejak apabila menewaskan juara bertahan dari Selangor K Letshanaa 15-21, 21-16, 21-16 dalam tempoh 50 minit sekali gus membalas kekecewaannya di aksi final pertama sebelum ini 11-21, 11-21.

“Jujurnya, saya tidak melakukan persiapan sebaiknya untuk kejohanan ini. Saya terkejut dengan kemenangan ini dan ini adalah kemenangan pertama saya ke atasnya. 

“Lawan tidak berupaya menepis corak permainan laju dan agresif yang dipamerkan saya dan pada masa sama, saya mampu menyerap tekanan yang diberikan olehnya,” kata Arena. 

Sabah menyapu bersih gelaran dalam kategori perempuan Bawah 14 dengan Jovine Calvin mengekalkan gelarannya dalam acara perseorangan. 

Pilihan utama itu menewaskan lawan dari Selangor, Selina Loh Hor Yan 21-19, 21-8. 

Dalam acara beregu, Sharlyn Vivian George-Cassey Rynn Rompog menewaskan Nur Adela Nadia-Joinis Clay Shervina 21-15, 24-22 dalam pertarungan final yang disertai wakil dari Sabah.

Jurulatih Sabah, Rompog Imbun yang berterima kasih kepada penaja berkata: “Ini adalah inisiatif sebenar buat kami untuk melihat sesuatu yang lebih penting di Grand Prix (Junior Kebangsaan) Final. 

“Kami tidak bersedia sepenuhnya kerana kekangan kewangan. Namun, komitmen dan keinginan untuk menang dipamerkan pemain mengatasi segala-galanya dan kami akan berusaha lebih gigih untuk GP Final.” – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *