Kerajaan Sabah komited pelihara warisan etnik, budaya

Foto Facebook Ewon Benedick

KOTA BELUD, 4 Mei – Kerajaan negeri Sabah akan terus komited membantu memulihara warisan etnik dan budaya semua kaum di negeri ini melalui sokongan pelbagai program agar tidak hilang ditelan zaman.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata program seperti Karnival Bahasa Kadazandusun memberi impak besar dalam menerapkan budaya cintakan bahasa ibunda di kalangan murid sekolah seterusnya memartabatkan warisan etnik dan budaya.

“Saya melihat karnival ini adalah ruang kerajaan melalui pemimpin masyarakat Kadazandusun menyalurkan bantuan dan memberikan sokongan berkaitan. Kita seringkali menyatakan keresahan bahawa generasi muda kita semakin melupakan bahasa ibunda bukan sahaja bahasa Kadazandusun tetapi juga bahasa ibunda daripada suku kaum lain.

“Oleh itu saya melihat melalui pembelajaran dan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah rendah dan menengah serta pengajuran program seumpama ini, kita dapat memupuk pembudayaan penggunaan bahasa ibunda tanpa mengabaikan bahasa antarabangsa yang lain termasuk Inggeris, Mandarin, Arab dan Jepun,” katanya selepas merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun Peringkat Negeri Sabah, di sini, semalam.

Karnival berkenaan anjuran bersama Majlis Guru-guru Bahasa Kadazandusun (MGGBKKB) Kota Belud dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud diadakan selama dua hari bermula 2 Mei.

Antara pengisian karnival tersebut ialah pertandingan menulis esei, sajak (sisindiron), bercerita (manangon), menyanyi (sugandoi), persembahan gong serta pakaian tradisi terbaik dengan kelancaran berbahasa ibunda Kadazan dusun (Kolumison basaan om Kotorompuson Moboros).

— BERNAMA

Foto Facebook Ewon Benedick