Satu projek tebatan banjir di Sandakan siap September ini

FOTO BERNAMA

SANDAKAN, 4 Mei – Satu daripada dua projek tebatan banjir di Sandakan dijadualkan siap September ini, manakala satu lagi dijangka bermula dalam tiga bulan lagi.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata Projek Saliran Mesra Alam Parit Batu 7 Sungai Sibuga di sini, yang menelan belanja RM21 juta, kini kira-kira 88 peratus siap dan bakal mengurangkan masalah banjir di kawasan sekitar.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk di empat taman perumahan sekitar dengan keluasan 393 hektar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek itu hari ini.

Menurut Dr Xavier, kawasan tadahan parit di kawasan itu merupakan satu daripada lokasi yang kerap dilanda banjir dengan kejadian banjir terbesar berlaku pada 2011 yang mencatatkan kedalaman sehingga satu meter.

Satu lagi projek sama iaitu Projek Tebatan Banjir Sungai Anip kini dalam proses perolehan melibatkan kos hampir RM40 juta dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk pembinaan, katanya.

— BERNAMA

236