Pemimpin KDM perlu bersatu demi pembangunan masyarakat KDM

Presiden Pertubuhan KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony

SANDAKAN, 4 Mei – Pemimpin masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM), khususnya di Sabah, harus mengenepikan matlamat politik masing-masing dan bersatu untuk membangunkan masyarakat itu yang semakin berpecah dari segi jumlah di Sabah.

Presiden Pertubuhan KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata ramai masyarakat KDM telah berhijrah ke luar Sabah, khususnya ke Semenanjung kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak dan lumayan di sana.

“Saya amat berharap agar para pemimpin KDM dapat bersatu untuk menumpukan kepada kelangsungan KDM dari segi membantu ekonomi masyarakat ini, khususnya di kawasan pedalaman.

“Kedudukan masyarakat KDM semakin tercicir dari segi peluang memajukan diri kerana ramai tidak mempunyai pendidikan tinggi untuk mengubah kehidupan dan merebut peluang yang ada di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama menteri itu di sini malam tadi.

Peter turut memaklumkan telah berjumpa dengan ‘Huguan Siou’ atau pemimpin agung masyarakat KDM, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan untuk menyampaikan harapan agar para pemimpin KDM bersatu demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat itu.

Beliau turut menjadikan anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah sebagai wakil Pertubuhan KDM Malaysia untuk membantu masyarakat itu di kawasan ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *