Berhenti Memperdayakan Rakyat Sabah Tentang Projek Bekalan Tenaga: Ongkili

SANDAKAN: Berhentilah mempermain dan  memperdayakan rakyat Sabah, khususnya pengundi Sandakan, dengan pelan dan projek bekalan tenaga.

Bekas Menteri Persekutuan, Datuk Dr Maximus Ongkili, dalam jawapan  kepada penggantinya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan pada dasarnya tidak melakukan apa-apa untuk mencari penyelesaian kepada  keperluan tenaga di Sabah, terutamanya Sandakan, sejak mengambil alih kuasa, hampir setahun lalu.

Dr Maximus mengangkat tangan Linda selepas diumumkan sebagai calon PRK P186 Sandakan.

“Semua projek tenaga yang sedang berjalan di Sandakan adalah menerusi perancangan dan peruntukan dana yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional ketika saya memegang portfolio menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“Sebenarnya kamilah yang membentuk Unit Perancangan dan Penyampaian Projek Khas Sabah (Sapadu) yang secara spesifiknya bertujuan untuk merancang dan melaksanakan projek infrastruktur tenaga,” kata Ongkili.

Presiden Parti Bersatu Sabah itu menambah bahawa peruntukan sebanyak RM2.3 bilion telah diluluskan untuk melaksanakan 70 projek berkaitan elektrik untuk tempoh  2017-2019, yang melibatkan kerja-kerja transmisi, penjanaan dan bekalan seperti Mowtas dan Pencawang Pembahagian Utama PPU
Permai, PPU Bukit Nenas, PPU Batu Sapi, dan projek Transformasi di Tshun Ngen dan PPU Sim Sim antara lain.

“Tiada projek baharu telah dirancang atau dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan sekarang,” tegasnya.

Selain daripada menyediakan peruntukan RM2.3 bilion untuk memperbaiki dan  meningkatkan bekalan elektrik di Sabah menerusi projek baharu dan menaik taraf kapasiti penjanaan dan penghantaran bekalan elektrik,  kabinet Persekutuan kerajaan BN yang telah meluluskan penyerahan semula Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan Sabah.

“Keputusan ini telah dilewatkan oleh kerajaan DAP-PH, jadi apa yang DAP boleh tuntut dan laungkan dalam konteks memperbaiki bekalan tenaga di Sabah?” Ongkili bertanya.

Mengenai projek saluran paip gas dari Kota Kinabalu ke Sandakan untuk loji janakuasa gas 300 megawatt (MW) di sini, beliau menyatakan bahawa ia adalah projek yang telah dirancang dengan teliti menerusi beberapa siri perundingan dengan pihak berkepentingan.

“Madam Yeo juga sudah tentunya arif dan mengetahui bahawa Kementerian Tenaga (dahulunya  dikenali KeTTHA) bukanlah pihak berkepentingan kepada aspek pelantikan kontraktor, ataupun pembayaran pendahuluan projek. Ia adalah di bawah bidang kuasa kementerian Kewangan.

“Jadi mengapa pula kementerian 
Yeo yang mahu mengambil nama dan  mendakwa ia terlibat secara langsung dalam projek-projek elektrik di Sandakan … sebenarnya ia adalah kes klasik sepertimana perumpamaan “Lembu punya susu..Sapi dapat nama!”

“Ini adalah cara kerja tipikal menteri persekutuan Malaya … mereka sama ada menyalahkan antara satu sama lain, menuntut nama atau kredit untuk kerja yang tidak mereka lakukan, atau menunjukkan kejahilan hakiki,” tegasnya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu bagaimanapun berkata bahawa DAP tidak boleh dipersalahkan kerana bertindak demikian.

“(Tetapi) Anda juga tidak boleh menyalahkan mereka, sama seperti calon DAP untuk Sandakan yang juga orang baharu dan mula berjinak jinak  dalam politik, Yeo juga adalah orang baharu dalam pentadbiran kerajaan.

“Orang Sabah dan Sandakan tahu dan sedar mengenai gimik politik  Malaya. Ketahuilah pengundi tidak boleh diperdaya atau ditipu helah,” kata Ongkili.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *