Ginjal belum matang

JANGAN beri air masak kepada bayi sehingga umur cecah 6 bulan ke atas. GAMBAR hiasan

UMUM mengetahui manusia memerlukan air mencukupi untuk melancarkan sistem tubuh namun ramai yang masih mempersoalkan adakah bayi yang belum mencapai usia enam bulan boleh mengambil air masak atau sebaliknya.

Kekeliruan yang membelenggu itu bukan saja menghantui ibu baru namun ibu atau bapa yang sudah memiliki dua atau tiga cahaya mata juga tidak terkecuali berasa sangsi.

IBU bapa jangan terlalu berani hingga mendatangkan risiko kepada anak. GAMBAR hiasan

Ramai yang masih tertanya-tanya, bilakah waktu sesuai bayi diberikan air masak? Ada juga sesetengah individu yang dengan yakinnya menyatakan ‘boleh’ atas alasan dirinya juga diberikan air masak sebaik dilahirkan.

Hakikatnya, sama ada bayi itu menyusu badan atau mengambil susu formula, air masak tidak diperlukan sehinggalah umur mencecah enam bulan ke atas atau sudah mula makan.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Dr Azizi Ahmad Zaidi, jumlah air yang terdapat pada susu ibu atau susu formula sudah mencukupi untuk kesihatan bayi.

Menurutnya, air tidak mempunyai sebarang kalori untuk mengisi perut bayi dan secara tidak langsung akan membuatkan si kecil kurang berminat untuk minum susu.

“Dalam masa sama, ia akan menyebabkan penurunan berat badan dan meningkatkan kadar bilirubin. Buah pinggang bayi masih tidak mampu menangani terlalu banyak cecair dan mampu menyebabkan organ ini tidak boleh mengawal elektrolit dan natrium yang menyebabkan dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit,” katanya.

PERLUKAH AIR MASAK UNTUK BAYI MENYUSU

Menurut Dr Azizi, bayi yang menyusu secara eksklusif tidak memerlukan air tambahan terutamanya jika masih berusia bawah enam bulan.

“Susu ibu mengandungi 88 peratus air dan ia mencukupi untuk bayi. Dalam penyusuan kali pertama, kolostrum yang ada pada ibu sudah cukup untuk mengelak dehidrasi.

“Manakala susu formula juga mengandungi sekitar 80 peratus air dan menghidratkan bayi dengan baik. Oleh itu, air tambahan tidak diperlukan sehingga usia bayi mencecah enam bulan,” katanya.

Tambahnya, apabila menyentuh mengenai pemberian susu formula, mengikut pakar pediatrik, susu perlu dibancuh mengikut sukatan susu dan air yang diarahkan pada tin atau peket susu saja.

“Menambah banyak air pada susu formula bukan hanya melarutkan kandungan nutrisi, tapi ia juga berisiko pada bayi.

“Paling penting ikut arahan yang diberikan dan jangan sesekali bersikap berani dengan menambah sukatan air berlebihan kononnya bagi mengelak risiko sembelit kerana terdapat risiko lain yang boleh berlaku,” ujarnya.

TAHAP UMUR BAYI BOLEH MINUM AIR MASAK

Menurutnya, sebaik saja bayi berusia enam bulan ke atas, ibu bapa boleh memberikan sedikit air untuk membiasakan bayi mengambil minuman lain selain susu.

“Sukatan air yang disyorkan pakar untuk umur ini adalah 60 mililiter setiap 24 jam dan sekiranya pemberian lebih daripada sukatan ini, ia akan mengganggu pengambilan susu.

“Namun, untuk usia ini, ibu bapa atau penjaga boleh memberikan air masak sekiranya melihat bayi dalam keadaan haus, kering atau kurang air terutama apabila mereka kelihatan susah untuk membuang air besar, berikan sedikit air supaya dapat mengelakkan masalah sembelit. Dalam situasi ini, jangan gantikan air dengan susu ibu atau formula,” katanya.

Tambahnya, bagi bayi yang sudah mencapai usia 12 bulan, tingkatkan pemberian jumlah air terutamanya jika bayi aktif bermain seharian. Pada usia ini, anak kecil mula kurang mengambil susu dan lebih suka makan.

“Disebabkan mereka semakin lasak dan aktif, pengambilan air juga akan meningkat dari semasa ke semasa. Pada usia ini, kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 1.3 liter air sehari bersamaan empat cawan,” ujarnya.

Menurut Dr Azizi, selain minum air masak, ibu bapa juga digalakkan memberikan buah-buahan yang mengandungi banyak air seperti tembikai, epal merah dan anggur.

KEADAAN BAYI TERLEBIH AIR

Dr Azizi berkata, ginjal bayi masih belum matang untuk mengeluarkan kembali cecair dengan cepat.

“Oleh itu, memberi air kepada bayi di bawah usia enam bulan boleh mengakibatkan banyak bendalir pada tubuhnya. Kemudian, ia menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit dan penurunan paras natrium dalam darah.

“Mabuk air (terlebih air) ini berlaku apabila bayi diberi minum air masak secara berlebihan sekitar 236 mililiter sehari. Ia boleh menyebabkan otak membengkak juga kematian,” katanya.

Tambahnya, antara gejala bayi yang terlebih air adalah muntah, mengantuk, kelesuan, berpeluh berlebihan, suhu badan rendah, kencing berlebihan iaitu enam hingga lapan kali lampin basah dan harus ditukar dalam tempoh sehari atau muka membengkak serta anggota badan lesu.

“Jika terdapat gejala-gejala ini, segera bawa bayi berjumpa doktor untuk pemeriksaan serta rawatan segera.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu prihatin dan jangan sesekali bersikap terlalu berani hingga akhirnya mendatangkan risiko kepada bayi anda. Bukan tidak boleh memberikan air masak namun ia perlu berpada dan mengikut jumlah bersesuaian dengan usia,” ujarnya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *