Tanah Penduduk Kampung Dari Hutan Simpan Akan Dipercepatkan – Ketua Menteri

Mohd Shafie (tiga kiri) memukul gong sebagai simbolik pelancaran program berkenaan, turut kelihatan Richard (tiga kanan).

OBELURAN: Kerajaan Sabah akan berusaha mempercepatkan pemberian geran tanah kepada penduduk yang tinggal di kawasan hutan simpan sejak bertahun lamanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun terdapat ratusan geran tanah yang perlu diproses namun, beliau akan membantu penduduk yang sudah tinggal agak lama di kawasan hutan simpan untuk mendapatkan geran.

Beliau berkata, kerajaan akan membantu penduduk kampung yang sudah menetap lama di kawasan Hutan Simpan Sugut bagi mendapatkan geran tanah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha membantu mengeluarkan kawasan yang dihuni penduduk kampung dari dalam kawasan Hutan Simpan Sugut.

Orang ramai kelihatan yang membanjiri kaunter Mahkamah Bergerak yang diadakan di Kg Matanggal, Paitan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata, isu membubarkan kawasan hutan simpan itu akan dibawa sendiri olehnya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa yang akan datang.

”Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Tanpa undian rakyat, kerajaan tidak mungkin dapat dibentuk. Maka, kerajaan akan terus membangunkan kemudahan yang diperlukan agar ianya dapat dinikmati seluruh rakyat Sabah,” jelasnya.

Mengenai cadangan menaiktaraf status Daerah Kecil Paitan kepada daerah penuh, beliau berkata, perkara itu akan dilakukan apabila tiba waktunya.

Katanya, kerajaan akan berusaha menaiktaraf status daerah itu apabila keadaan kewangan kerajaan mencukupi bagi memudahkan rakyat di kawasan Paitan ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan pemimpin masyarakat agar tidak bergaduh sesama sendiri sebaliknya, memberi keutamaan kepada usaha berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, jika ada pergaduhan dalam merebut pangkat dan jawatan, rakyat akan berpecah. Keadaan itu pastinya akan memberi impak negatif kepada pembangunan negeri ini.

Mohd Shafie berkata, sekiranya gelombang kerjasama rakyat berbilang kaum di Sabah serta sumber asli yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya, negeri ini pasti mampu membangun jauh lebih baik dari Singapura mahupun Hong Kong. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *