Pelihara Perpaduan Demi Kesinambungan Pembangunan – Shafie Apdal

OPITAS: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menyarankan masyarakat di negeri ini agar menjaga dan memelihara perpaduan yang ada demi memastikan pembangunan di Sabah dapat diteruskan.

Beliau berkata, rakyat pelbagai kaum di negeri ini tidak seharusnya berbalah sesama sendiri jika ingin melihat kemajuan dan pembangunan terus dilaksana.

”Perayaan sebegini (Pesta Kaamatan) penting untuk memastikan usaha melahirkan dan menyatupadukan rakyat di Sabah sebab kita tidak punya banyak masa. Kita sudah merdeka lebih 56 tahun jadi kita tidak punya masa berbalah antara satu sama lain.

”Ikatan perpaduan, sumber tenaga manusia dan buah fikiran yang ada perlu disatukan untuk membangunkan dan memajukan Sabah,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah, di Dataran Bengkoka, di sini pada Rabu.

Majlis Pelancaran yang dihadiri kira-kira 15,000 pengunjung itu disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isterinya, TYT Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni serta isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Mohd Shafie berkata, beliau percaya sekiranya perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini dapat dipelihara dengan baik, Sabah pasti mampu dimajukan sebagai negeri industrilisasi yang setanding negara-negara lain dirantau ini.

Beliau berkata, tiada ertinya Sabah kaya dengan sumber asli dan tenaga manusia sekiranya perpaduan tidak dapat direalisasikan.

Katanya, pada masa ini ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak sihat berikutan pertelingkahan dalam perdagangan dunia antara China dan Amerika Syarikat yang mana, impaknya akan menjejaskan semua negara.

Atas sebab itu, perpaduan penting untuk manusia maju ke hadapan. Jika manusia bersatu, walau sekecil mana rintangan dihadapi, masalah yang datang pasti mampu diselesaikan.

”Kita sedar dan tahu dunia hari ini berdepan dengan perbalahan dan perpecahan. Jika dilihat orang Arab bergaduh sesama sendiri, pembunuhan dihalalkan di negara mereka. Malah ada juga negara yang mempunyai masyarakat berbagai kaum yang berbalah antara satu sama lain.

”Kehancuran tamadun manusia yang berlaku pada zaman dahulu perlu menjadi peringatan dan pengajaran kepada kita. Sekiranya perpecahan menjadi laluan untuk melaksana kehidupan, kemajuan dan pembangunan tidak dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Mengenai sambutan pesta itu, Mohd Shafie berkata, perayaan sebegitu mampu meningkatkan wadah budaya kaum di Sabah untuk warisan anak bangsa pada masa akan datang.Ia selaras dengan tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kamaatan Wadah Perpaduan Perpaduaan Budaya Bangsa’.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kamaatan Peringkat Negeri Datuk Peter Anthony dan Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA) Datuk Daniel Kinsik, serta barisan Jemaah Kabinet negeri yang lain. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *