RM135.2 juta diperuntuk bagi empat projek pembahagian bekalan elektrik di Sandakan


Yeo Bee Yin (kiri) dan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee mengutip botol plastik yang dibuang di pantai selepas perasmian Kempen Anti Plastik oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Teo Bee Yin di Pulau Berhala, Sandakan hari ini.- foto BERNAMA

SANDAKAN, 30 April – Kerajaan memperuntukkan RM135.2 juta bagi empat projek  pembahagian bekalan elektrik di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) di Sandakan, kata Yeo Bee Yin hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata, satu daripada empat projek pembahagian itu iaitu pengubahan punca bekalan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Mowtas dan PPU Permai bernilai RM20 juta siap pada 1 Mac lepas, manakala projek pembahagian PPU Bukit Nenas bernilai RM34.2 juta pula dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada Jun hadapan.

Projek pembahagian PPU Batu Sapi bernilai RM32 juta pula dalam proses perolehan dan dijangka siap pada Mei 2021, manakala projek pembahagian pengubahan punca bekalan PPU Tshun Ngen dan PPU Sim-Sim bernilai RM49 juta dijangka siap akhir 2021, katanya.

“Semua perancangan dalam mengatasi isu bekalan elektrik di Sabah sedang berjalan dengan lancar.

“Kerajaan Pusat sentiasa bekerja rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam mengatasi masalah bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Anti Plastik di Pulau Berhala di sini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *