SPR diminta perjelas pelantikan Lajim sebagai pemerhati


Datuk Lajim Ukin. – Foto ihsan BERSIH 2.0

SANDAKAN: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mempersoalkan keperluan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik ahli politik sebagai pemerhati dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Ia susulan kehadiran bekas presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Datuk Lajim Ukin yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah di pusat penamaan calon PRK Parlimen Sandakan sambil memakai baju rasmi yang bertulis ‘pemerhati’.

Penyelaras BERSIH 2.0 Sabah, Asraf Sharafi, berkata gabungan itu berpendapat pemerhati pilihan raya sepatutnya individu atau organisasi yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik termasuk daripada parti yang sedang bertanding.

Katanya, ia selaras dengan piawaian ditetapkan Deklarasi Prinsip Global untuk pemerhati dan pemantauan pilihan raya non-partisan oleh organisasi sivil (suruhanjaya Venice).

“Kepentingan untuk pemerhati non-partisan bagi pilihan raya adalah pemerhati perlu menilai keseluruhan integriti proses pilihan raya dan laporan mereka dapat menambah atau merosakkan kesahihan keputusan pilihan raya.

“Sekiranya mana-mana ahli politik dilantik sebagai pemerhati, SPR perlu menjelaskan atas asas apa mereka dilantik atau pun jika terdapat kegagalan dalam prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk menapis permohonan menjadi pemerhati,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asraf berkata, SPR juga perlu memberi penjelasan berhubung polisi mereka dalam menentukan sama ada ahli politik yang aktif boleh menjadi pemerhati untuk SPR, serta SOP untuk membatalkan permohonan menjadi pemerhati.

“BERSIH 2.0 memuji keterbukaan SPR sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam melantik kumpulan tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH 2.0 sebagai sebahagian daripada pemerhati.

“Bagaimanapun, BERSIH 2.0 berharap SPR tidak merosakkan integriti program dan merendahkan kebebasan SPR dengan melantik ahli politik yang aktif sebagai pemerhati pilihan raya,” katanya. – Berit Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *