Paip rosak jejas keselesaan warga PPR Taman Mesra

PENDUDUK menunjukkan keadaan paip pecah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra. – Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, di sini berharap isu paip pecah dibaiki segera bagi menjamin keselesaan kira-kira 5,000 penduduk di kawasan itu.

Penduduk mendakwa sebahagian daripada 57 blok yang menempatkan 1,000 unit rumah di kawasan itu menghadapi masalah paip rosak sejak beberapa tahun lalu.

Ketua blok 52, Rosnah Abidin, 46, berkata selain kotor, masalah paip di kawasan itu menimbulkan bau busuk sehingga mengganggu keselesaan penduduk kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, biarpun aduan sudah dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta wakil rakyat, masalah itu masih belum dapat diselesaikan hingga kini.

“Apabila paip rosak, ia bukan saja menyebabkan air bertakung di bawah blok dan longkang, malah menyebabkan bau busuk. Kami khuatir jika tidak diselesaikan, ia boleh mengundang masalah lebih teruk termasuk isu kesihatan.

“Sebelum ini, isu air longkang melimpah, tapi sudah selesai selepas sistem pembetungan dibaiki dan penduduk ambil inisiatif kumpul wang daripada setiap rumah untuk membersihkan parit,” katanya ketika ditemui BH di PPR itu.

PPR Taman Mesra yang dibina sejak 13 tahun lalu terletak dalam kawasan Parlimen Sandakan.

Seorang lagi penduduk, Iskandar Syah Abu, 50, berkata selain paip rosak, mereka turut berharap agar PBT membaiki kerosakan lampu di setiap blok di PPR itu.

Sejak mula mendiami PPR itu pada 2006, katanya, penduduk mengambil inisiatif sendiri memasang lampu di luar rumah untuk menerangi kawasan kaki lima pada waktu malam kerana tiada pembaikan lampu dibuat biarpun perlu membayar bil elektrik bagi kegunaan blok.

“Setiap rumah dikenakan RM18 sebulan untuk membayar bil elektrik bagi kegunaan blok, namun kemudahan lampu yang ada rosak.

“Kita berharap isu ini diselesaikan bukan saja untuk keselesaan penduduk, malah untuk keselamatan terutama kanak-kanak,” katanya.

Iskandar berkata, penduduk turut berharap beberapa isu penduduk termasuk pagar yang usang serta jalan berturap yang rosak turut diambil perhatian oleh pihak berwajib. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *