Regatta Lepa Paling Meriah, Terbesar Dalam Sejarah – Mohd Shafie

SEMPORNA: Sambutan Regatta Lepa terbesar yang pernah diadakan pada tahun ini menjadi penanda aras kepada sokongan rakyat khususnya di daerah ini kepada kerajaan baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau mendedikasikan sambutan Regatta Lepa paling meriah kali ini untuk rakyat yang sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya apatahlagi ketika tidak berkesempatan untuk bersama-sama menyambut pesta itu pada tahun lalu.

Mohd Shafie berucap sempena Malam Penangguhan Regatta Lepa Jubli Perak di Semporna semalam. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Mengimbau tahun lalu saya tidak ada bersama-sama dengan kalian semasa Regatta Lepa kerana saya tidak sempat memainkan peranan ketika itu… saya cuma berharap agar diberikan sokongan.

“Terima kasih kepada rakyat Sabah khususnya di Semporna, tidak mungkin kita boleh membentuk kerajaan kalau tanpa disokong orang kita.

“Kita telah nyatakan kita akan ubah dengan sedaya mampu.. saya tahu harapan rakyat tinggi mahukan perubahan supaya mendapat kerja, pendapatan perniagaan, peningkatan taraf hidup anak dan keperluan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan keselamatan,” katanya.

Mohd Shafie mengiringi Tun Juhar Mahiruddin sebaik ketibaan di Malam Penangguhan itu semalam. Gambar SNT/Ihsan JKM

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena malam penangguhan Regatta Lepa Jubli Perak 2019 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni bertempat di Padang Bandar Semporna malam tadi.

Hadir sama ialah isteri Mohd Shafie iaitu Datin Seri Shuryani Shuaib; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abas Syed Ali; bekas ketua hakim negara, Tan Sri Richard Malanjum serta tiga timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Christina Liew dan Datuk Madius Tangau.

Sambutan Regatta Lepa yang dihadiri lebih 40,000 pengunjung turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian oleh artis-artis tempatan di Sabah yang berbakat besar seperti Den Bisa, kumpulan Zero selain kemunculan istimewa penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza.

Tun Juhar menerima cenderamata daripada Mohd Shafie. Gambar SNT/Ihsan JKM

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata dengan adanya Regatta Lepa akan dapat merancakkan sektor pelancongan Semporna sekaligus membolehkan rakyat memperolehi limpahan ekonomi yang dijana daripada perniagaan sepanjang dan selepas program itu.

“Rakyat akan mendapat manfaat ekonomi dengan kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke premis mereka seperti kedai, restoran, hotel dan kedai runcit.

“Bila saya jalan ke kedai-kedai sendirian, saya nampak ada penjual minuman yang tidak punya kedai tapi hanya berbekalkan air sirap dan nasi bungkus yang mereka jual, mereka mungkin memperolehi RM200 hingga RM300 sehari,” jelasnya.

Beliau berkata galakan perniagaan dalam kalangan masyarakat di daerah itu merupakan antara perkara yang akan dipertingkatkan boleh kerajaan dan bukan hanya menumpukan sektor pelancongan dan pembangunan semata-mata. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *