Tawau, Sandakan transit baharu Daish – KPN

Kumpulan Daesh kini menjadikan Tawau dan Sandakan di Sabah sebagai transit untuk masuk ke Selatan Filipina serta Rakhine, Myanmar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata Daesh kini menjadikan kedua-dua kawasan itu sebagai lokasi baharu mereka di Asia Tenggara setelah kedudukan mereka tergugat dalam serangan tentera bersekutu di Iraq dan Syria.

“Kita sentiasa membuat pemantauan rapi tentang isu ini, melakukan tangkapan dari semasa ke semasa untuk tangkap mereka ini yang mahu masuk ke Selatan Filipina.

“Mereka ini bukan sahaja warga kita tetapi juga warga negara lain misalnya dari negara jiran kita Indonesia, juga negara lain sekitar Asia Tenggara ini yang nak masuk ke Selatan Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak di sini hari ini.

Fauzi berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang menyatakan kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria bukanlah satu pengakhiran kepada keganasan mereka.

Mohamad Sabu dilaporkan berkata pengganas yang dilatih Daesh berada di merata dunia dan kekal menjadi ancaman kepada keamanan serta keselamatan global.

Fuzi berkata kekuatan kumpulan Daesh semakin berkurangan apabila jumlah mereka yang sebelum ini seramai 45,000 orang, kini telah berkurangan kepada 35,000.

“Ini hasil pengumpulan dan pertukaran maklumat dengan rakan-rakan agensi di seluruh negara, jadi isu ketika ini mereka sedang melihat tapak baharu, jadi bagi Asia Tenggara selatan Filipina dan juga Rakhine, Myanmar antara sasaran mereka,” katanya.

Menurutnya, di Eropah pula, tapak baharu yang menjadi tumpuan kumpulan pengganas terbabit adalah di negara-negara Balkan seperti Bosnia dan beberapa negara lain.

“Kita sentiasa melakukan pemantau rapi pada setiap masa bagi menangani isu Daesh itu bukan sahaja di peringkat domestik, serantau, tetapi juga diperingkat global,” katanya dan menambah setakat ini tiada tangkapan baharu kumpulan Daesh dalam negara.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *