Polis cari enam suspek pergaduhan di Sandakan

Sekadar Gambar Hiasan

SANDAKAN: Polis giat mengesan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan di sebuah restoran di Sri Taman di sini, minggu lalu.

Ia susulan laporan dua remaja berusia 18 dan 19 tahun berhubung pergaduhan di sebuah restoran di taman terbabit, kira-kira jam 12.30 tengah malam, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, berlaku perselisihan antara kedua-dua remaja terbabit dengan suspek sebelum seorang daripada mangsa ditampar.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata mangsa kemudian membawa beberapa rakan ke lokasi kejadian untuk meleraikan perselisihan faham tetapi bertukar menjadi pergaduhan.

Berikutan kejadian itu, katanya, remaja terbabit cedera di telinga dan kepala akibat dipukul menggunakan tali pinggang dan gelas.

“Siasatan mendapati kejadian bermula selepas seorang daripada mangsa ditampar oleh suspek.

“Suspek kini giat diburu untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – Harian Metro

504