Orang ramai dinasihat waspada kes tipu nombor TAC

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak menerima tujuh laporan membabitkan penipuan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) oleh sindiket di negeri ini dengan nilai kerugian mencecah RM21,000 sejak Januari lalu.

Ketua JSJK Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata jumlah laporan itu diterima sehingga semalam.

“Kerugian terendah yang dicatatkan ialah RM1,200 dan tertinggi ialah RM7,000 dengan kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

“Terbaru, seorang lelaki berusia 20 tahun dan bekerja sebagai penjawat awam kerugian RM7,000 akibat diperdaya sindiket terbabit.

“Pada 16 April lalu, mangsa dihubungi seorang lelaki mengatakan sudah menghantar pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi nombor TAC dari Molpay Sdn Bhd dan kononnya digunakan untuk penghantaran wang ke akaun bapanya yang sedang sakit.

“Tanpa ragu-ragu, mangsa membaca nombor TAC itu dan selepas membuat semakan pada akaun bank keesokan harinya, dia mendapati wang berkurangan dan merasakan dirinya sudah ditipu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyerahkan nombor TAC yang diterima menerusi SMS kepada orang lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi, sebaliknya mereka perlu terus menghubungi bank. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *