Sabah ‘ajar’ UKM FC

Penjaga gol UKM FC Khatul Anuar Md Jalil (tengah) menyelamatkan bola dari cubaan pemain Sabah pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Sabah mengakhiri saingan pusingan pertama Liga Perdana dengan kemenangan apabila membenam UKM FC 3-1 di Stadium Likas, di sini, malam ini.

 Sabah memiliki peluang baik seawal minit pertama menerusi Rodoljub Paunovic dari dalam kotak penalti namun rembatannya itu terus ke dakapan penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil.

Pada minit ketujuh, giliran UKM FC pula memiliki peluang menerusi Muhammad Azri Zulkiflee, namun cubaannya selepas melepasi seorang pertahanan Sabah tinggi melepasi palang.

 Ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil kemudian hampir meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-13, bagaimanapun, tandukannya yang tidak dikawal sedikit tersasar. Skuad Tambadau memperoleh jaringan pertama menerusi Alto Linus pada minit ke-20, gol itu berpunca hasil hantaran lintang Paunovic yang kemudiannya ditanduk kemas Alto bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pemain Sabah, Rodoljub Paunivic (tengah) melakukan percubaan ke arah pintu gol UKM FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Fogo Edmund Samunting

 Jaringan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan pelawat yang beberapa kali membahayakan pintu gol Sabah dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan kaki kiri Mohd Hafizi Amiruddin pada minit ke-42 bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol UKM FC pada minit ke-45 mengakibatkan mereka sekali lagi dibolosi apabila tendangan Dendy Lowa dari jarak hampir setengah padang terus melantun masuk ke dalam pintu gol UKM FC bagi menjadikan kedudukan 2-1 dan ia kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Sabah terus garang apabila memperoleh gol ketiga hasil jaringan Paunovic pada minit ke-59.

Gol itu berpunca hasil kesilapan pertahanan UKM FC, Mohd Akmal Zahir, yang cuba menanduk bola ke belakang namun disambar oleh Paunovic yang kemudiannya melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 3-1. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *