
KOTA KINABALU: Operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah tidak pernah dihentikan, malah sentiasa dipergiat bagi memastikan daerah Kota Kinabalu bersih daripada najis tersebut.
Dalam tempoh seminggu bermula 13 April hingga semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) meneruskan kecemerlangan membanteras 46 lagi suspek yang terlibat dengan kesalahan berkaitan bahan terlarang itu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah itu, tiga suspek ditangkap kerana disyaki pembekal, 11 orang kerana memiliki dadah manakala 32 lagi gagal ujian saringan urin.

“Pihak berkuasa juga berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah didalangi seorang warga Filipina dan turut merampas sebanyak 51.3 gram ganja.
“Dalam tempoh itu, 36 yang ditahan adalah warga tempatan manakala 10 lagi warga asing berumur 13 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Habibi berkata, operasi tersebut dijalankan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, Likas dan Menggatal.

Jelas beliau, selain ganja, turut dirampas ialah 12.12 gram pil khayal dan 7.21 gram syabu yang kesemuanya bernilai RM4,050.
“Pihak polis turut memperkasakan penguatkuasaan dengan meningkatkan Op Tapis iaitu sebanyak 19 kali sepanjang minggu lalu, Op Sarang di kawasan Likas dan operasi bersama polis marin,” ujarnya. – BorneoToday