Pembinaan Dan Penaiktarafan Jalan Akan Terus Dilaksana

OKOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur akan mencadangkan senarai kerja-kerja membina dan menaiktaraf jalan raya di negeri ini bagi memastikan rakyat di kawasan pedalaman mempunyai akses jalan raya yang baik.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, Kerajaan Sabah mengambil perhatian serius terhadap keperluan pembangunan di kawasan yang memerlukan kemudahan jalan raya yang lebih baik seperti yang dinyatakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam Persidangan DUN kali ini.

Oleh itu, kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mencadangkan senarai kerja-kerja pembinaan dan penaiktarafan jalan yang dipohon AdunA-dun itu melalui Program Jalan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Namun, kelulusan projek adalah mengikut keutamaan dan tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan,” kata Adun Melalap ini.

Mengenai persoalan Adun Bugaya Manis Muka mengenai projek jalan raya di kawasan DUN itu, Peter berkata, dua projek iaitu Projek Jalan Tarapuli dan Projek Naiktaraf Jalan Seri Melur Spur, Semporna yang masing-masing bernilai RM22 juta dan RM10juta dijangka siap pada tahun ini.

Dalam RMK12 pula, JKR akan menyenaraikan Projek Naiktaraf Jalan Sono Marso, Semporna sepanjang dua kilometer (2 km) dengan kos anggaran sebanyak RM10juta.

Berkenaan permintaan mengurangkan jarak perjalanan pengguna dari Balung-Semporna, kementerian itu melalui JKR akan mengkaji keperluan kebolehcapaian (accessibility) yang akan mengurangkan jarak perjalanan pengguna jalan raya ke arah Kampung Batu 22 dari Balung-Semporna.

Pada masa kini, hanya terdapat kemudahan pusingan ‘u’ (u-turn) yang terletak tiga kilometer (3km) selepas simpang Lapangan Terbang Tawau.

Mengenai keperluan menyelenggara Jalan Sungai Burong, Tawau, Peter berkata, jalan sepanjang 35km itu dibawah penyelenggaraan JKR (25km) dan selebihnya 10km terletak dibawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Tawau.

“Namun kualiti menaiktaraf jalan raya berkenaan tidak mencapai standard piawaian JKR dan kontraktor dilantik bukan lantikan JKR Sabah. Oleh itu, JKR telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk membuat kerja-kerja pembaikan sebelum diserah milik kepada JKR,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan Projek Lebuh Raya Pan Borneo, pelaksanaan projek ini akan dijadualkan semula di mana sebanyak lima belas (15) pakej kerja kontraktor akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11). Manakala, baki dua puluh (20) pakej kerja kontraktor akan dilaksanakan dalam RMK12 yang akan bermula pada 2021. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

“Menerusi model baharu Private Delivery Partnership (PDP), pelaksanaan projek ini akan dilakukan secara konvensial di mana pemilik projek adalah Kementerian Kerja Raya (KKR). Manakala JKR Sabah sebagai Penguasa Projek (Superintending Officer).

“Susulan daripada perbincangan Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan, JKR akan mempunyai kuasa mutlak untuk segala keperluan teknikal sepertimana projek-projek KKR yang telah dan sedang dilaksanakan di Sabah.

“Namun, terdapat prosedur-prosedur sedia ada yang harus dipatuhi had-had limit kewangan, perubahan kerja (variation order), arahan penurunan kuasa (Delegation of Authority) dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh soal pampasan berhubung pengambilan balik tanah dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo ini, surat tawaran sejumlah RM1bilion telah dikeluarkan oleh Jabatan Tanah & Ukur (JTU)

Namun, hanya RM315 juta sahaja jumlah nilai surat notis tawaran pembayaran pengambilan balik tanah diterima. Manakala baki RM 685 juta masih dalam proses terima setuju daripada pemilik-pemilik tanah.

Mengenai status pelaksanaan ‘Kota Kinabalu Outer Ring Road (KKOR)’ dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo ini, laluan itu mula dilaksanakan pada Januari tahun ini dan ia dijangka siap pada Januari 2021. – BorneoToday

206