Kes Pukul Di Centre Point, Dua ditahan, empat lagi dicari

DUA suspek yang berjaya ditahan di Pekan Inanam.

Dua ditahan, empat lagi dicari

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan dua remaja dipercayai suspek utama yang terlibat dalam kes pukul di tingkat lima sebuah pusat beli-belah di sini 14 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman berkata kedua-dua suspek berumur 18 dan 19 tahun itu ditahan di Pekan Inanam kira-kira jam 11 malam Selasa.

“Hasil bantuan maklumat yang disalurkan oleh orang ramai, suspek berjaya ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu kira-kira dua hari selepas melakukan rusuhan tanpa senjata di sini.

“Polis kini sedang giat mengesan dan memburu empat lagi suspek masih bebas yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi pegawai penyiasat di talian 012- 811 9794 untuk tindakan selanjutnya. – Utusan Borneo

244